News - Year 2009

 

PETALING JAYA 11 Ogos - Kerajaan memerlukan kerjasama daripada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, untuk mencapai hasrat itu, kerajaan harus memastikan semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini mempunyai kemudahan yang mencukupi.

Menurutnya, matlamat itu bagaimanapun sukar dicapai tanpa kerjasama daripada IPTS kerana kerajaan tidak mempunyai modal mencukupi untuk menyediakan kemudahan bagi pembelajaran pelajar.

"IPTS memainkan peranan penting dalam pendidikan tinggi negara kerana kerajaan tidak cukup modal untuk menyediakan kemudahan bagi semua pelajar.

"Kalau mahu kerajaan biayai sendiri sektor pengajian tinggi memang kita tidak mampu. Jadi inilah peranan sektor awam dan kita harap dapat bekerjasama dengan IPTS melahirkan pelajar yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani pembelian antara Masterskill (M) Sdn. Bhd. (Masterskill) dengan Seri Alam Properties Sdn. Bhd. (SAP) iaitu anak syarikat United Malayan (UM) Land Group untuk membuka kampus cawangan Kolej Universiti Masterskill di Pasir Gudang, Johor.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Pendidikan Masterskill, Datuk Edmund Santhara dan Pengarah Eksekutif UM Land Group, Datuk Ng Eng Tee disaksikan oleh Canselor Kolej Universiti Masterskill, Datuk Seri Raja Azureen Sultan Azlan Shah dan Mohamed Khaled.

Mohamed Khaled memberitahu, ketika ini, terdapat 900,000 pelajar menuntut di IPT di seluruh negara.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, 50 peratus mengikuti pengajian di IPTA manakala bakinya di IPTS.

"Sebab itu, kita menggalakkan IPTS membantu kerajaan dengan membuka lebih banyak pusat pembelajaran termasuk kampus cawangan agar lebih ramai pelajar boleh diambil mengikuti pengajian," katanya.

Mengenai pembinaan kampus cawangan Kolej Universiti Masterskill di Pasir Gudang, beliau berkata, pembukaan kampus itu adalah selari dengan perkembangan dan kemajuan yang sedang dihadapi pengajian tinggi di negara ini.

Kampus cawangan yang menelan kos RM28 juta dan dibina Bandar Seri Alam, Pasir Gudang ini apabila siap pada 2011 mampu menampung pelajar seramai 10,000 orang.

 

 

 
 
  Name:
  E-mail:
 

Copyrights © 2006 United Malayan Land Bhd
Privacy Policy I Terms Of Use I Disclamer